Friday, February 26, 2010

Jenis-jenis Bakau yang Terdapat di Negara Kita

Api-api merupakan spesis yang banyak tumbuh di tempat-tempat terbuka di barisan hadapan pesisir pantai oleh kerana ia memerlukan banyak cahaya. Nama saintifiknya ialah avicennia. Ceracak-ceracak akar udaranya kurus dan tidak begitu keras. Sonneratia pula ialah spesis yang lebih banyak tumbuh di muara-muara atau tempat yang lebih terlindung. Ia juga merupakan spesis yang tumbuh di barisan hadapan tumbuh-tumbuhan bakau. Penduduk tempatan menamakannya sebagai perepat atau berembang. Akar-akar udaranya yang menonjol keluar dari dalam lumpur kuat, keras dan tegap. Rhizophora ialah sejenis lagi spesis bakau yang biasa kelihatan tumbuh meliar di hutan paya bakau. Ia mengeluarkan akar-akar tunjangnya dari sekeliling bahagian bawah batangnya dan menjunam ke dalam lumpur. Akar-akar ini memberikan sokongan yang amat kuat dan padu kepada pokoknya. Antara jenis-jenisnya ialah bakau kurap dan bakau minyak. Bakau berus dan lenggadai tumbuh di deretan yang lebih darat. Nama saintifiknya ialah Bruguiera. Satu lagi jenis yang yang jarang kelihatan tumbuh di deretan mengarah ke tanah daratan ialah Xylocarpus atau dikenali oleh orang tempatan sebagai nyirih. ia mempunyai buah bulat seperti limau besar atau peluru meriam. Itu adalah serba sedikit pengetahuan, sekadar ingin tahu jenis-jenis bakau yang terdapat di negara kita, Malaysia.

Bakau tidak pula sunyi dari berbagai jenis fauna yang mendiami dan bergantung hidup dalam habitatnya. Kawasannya yang menggalakkan pertumbuhan pohon-pohonnya yang subur menghijau menaungi pelbagai jenis haiwan. Unggas seperti bangau dan raja udang; serangga seperti kelip-kelip; cacing pumpun dan larva; ketam, ikan, siput, kekerang, belacak dan belangkas semuanya hidup saling bergantung antara satu sama lain. Keseluruhannya membentuk satu eko-sistem yang menjadi begitu penting dan berkait rapat dengan kehidupan manusia. Dalam lukisan saya bagi siri ini, cuma sedikit memaparkan burung-burung bangau dan raja udang. Mungkin bagi siri yang akan datang segala macam fauna ini lebih sesuai dipaparkan dalam satu sudut pandang dekat yang tidak terdapat dalam lukisan saya bagi siri ini, kerana lebih terarah kepada tempat-tempat bakau di berbagai wilayah.

4 comments:

  1. SAYA INGIN BELAJAR TENTANG HUTAN BAKAU DAN INGIN BERGANDING BAHU MELINDUNGI HUTAN BAKAU SERTA SEMUA JENIS HUTAN PLUMMAH

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.bakau jenis pa ya untuk pembinaan..?mohon pertolongan..

    ReplyDelete
  3. boleh minta pencerehan tentang jenis bakau yang terdapat di sandakan sabah. terima kasih

    ReplyDelete

 

Followers