Showing posts with label lukisan. Show all posts
Showing posts with label lukisan. Show all posts

Friday, February 26, 2010

Sejarah Awal dan Latar Belakang Karier Seni

Dilahirkan pada 21 Julai 1950, saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Telaga Nanas, Lumut, Perak; sebuah kampung yang pada ketika itu letaknya agak terpencil dari jalan darat. Kampung yang menghadap Sungai Dinding (sekarang Sungai Manjong), airnya mengalir ke hulu ketika air pasang dan menghilir hingga ke pekan Lumut tidak jauh dari Pulau Pangkor. Wilayah ini mempunyai persekitaran bakau yang banyak memberikan sentuhan nostalgia kepada saya. Pengalaman semasa kecil bersampan menyusuri pantai dan tebing-tebing bakau di kiri dan kanan kampung, telah banyak menyelitkan memori visual persekitaran alam bakau. Kini menjadi ransangan bagi saya melukiskan suasana keindahannya. Masih terlekat di retina minda saya gambaran bakau dan cerminan pantulan di wajah sungainya.




Pada peringkat menengah saya mendapat pendidikan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak. Semasa persekolahan saya banyak menghasilkan lukisan untuk kegunaan sekolah dan memenangi banyak hadiah pertandingan melukis. Tidak pernah pun ada keinginan untuk melukis alam bakau pada ketika itu walaupun di fakulti minda saya terdapat memori visual alam bakau. Sekali sekala ketika cuti sekolah saya menyusuri tebing-tebing bakau. Saya mengakhiri tahun persekolahan pada 1966 dengan “Malaysia Certificate of Education” dan memulakan karier melukis saya.


Di sebuah syarikat iklan luar di Kuala Lumpur saya berkerja sebagai pelukis kommersial di pertengahan 1967 untuk beberapa tahun lamanya. Saya menyambung profession ini di Bandar Ipoh pada 1969 untuk beberapa tahun kemudiannya sebelum menjadi penjawat awam di Radio Television Malaysia sebagai Pelukis Grafik pada 1974 hingga 1978. Seterusnya saya menyambung profession ini di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam bidang rekabentuk komunikasi korporat dan rekabentuk penerbitan buku. Di samping itu saya banyak membuat ilustrasi untuk buku kanak-kanak dan remaja. Saya berkhidmat di DBP selama 25 tahun. Di waktu itu saya membuat pengajian luar kampus di ITM dan beroleh diploma. Ada ketikanya saya mendapat bantuan dari isteri saya Hasemah apabila sekali sekala ingin mengulangi sejarah sebagai pelukis komersial. Bidang rekabentuk penerbitan buku telah banyak memberikan kepuasan kepada saya pada ketika itu walaupun keinginan untuk melukis alam bakau belum lagi terbit di hati saya. Saya menamatkan karier dalam jawatan awam sebagai Pegawai Seni Reka setelah berkerja selama sebelas tahun sebelum bersara awal pada 2003.




Pada awal persaraan saya masih lagi melukis ilustrasi untuk penerbitan buku, dan dalam masa yang sama mula berjinak-jinak dalam bidang seni halus. Pada satu ketika saya berkongsi tenaga dengan anak saya Tetriana untuk membuat ilustrasi paya bakau. Kakak kepadanya ialah Tetralina, beliau memasuki bidang perundangan. Saya bertolak dari ilustrasi yang memerlukan banyak perincian, dan ketelitian menyusuri sedikit demi sedikit transisi ke seni halus melalui pembacaan dan berserta pengalaman dari ilustrasi itu sendiri. Ketika ini imej bakau dan cerminan pantulan di wajah sungainya yang masih terlekat di retina minda saya semasa kecil dan membesar bersama-sama persekitarannya muncul memberikan inspirasi kepada saya. Saya menumpukan perhatian untuk melukis alam bakau dan memilih tema ini untuk melahirkan ekspresi seni saya dalam media warna air dan mula bergiat pesat pada 2006. Saya ingin mengekalkan tema ini dan terus melukis alam bakau buat beberapa ketika. Manalah tahu suatu hari nanti suasana damai alam bakau ini mungkin lenyap dari pemandangan kita.

Alam bakau yang terkandung di dalamnya berbagai spesis bakau yang telah berkurun-kurun hidup di negara kita harus dipelihara oleh kita semua. Ia merupakan warisan alam kepada negara kita. Secara peribadi saya merasakan ada sesuatu yang patut dilakukan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan pengurusan pemuliharaan-boleh-kekalnya. Suatu garisan kawasan simpan di sepanjang pantai pada barisan hadapannya patut dijadikan sebagai kawasan tebatan untuk mengekalkan pohon-pohon bakau. Ini bermakna aktiviti ekonomi yang terpaksa mengorbankan muka buminya hanya boleh dilakukan di sebalik kawasan itu.

Kecintaan saya terhadap alam bakau membuat saya mahu terus mengembara menjelajah wilayah bakau di seluruh negara, mencerap pemandangan damainya dan mewarnakannya ke atas kertas lukisan saya. Visualnya akan terus saya kekalkan sekiranya pemandangan damai pohon-pohonnya akan lenyap suatu hari nanti, manalah tahu. Berikutnya saya ingin nukilkan sedikit pengalaman merakam dan melukis tabir damai alam bakau dari rentetan perjalanan saya menjejaki wilayah bakau.

Jenis-jenis Bakau yang Terdapat di Negara Kita

Api-api merupakan spesis yang banyak tumbuh di tempat-tempat terbuka di barisan hadapan pesisir pantai oleh kerana ia memerlukan banyak cahaya. Nama saintifiknya ialah avicennia. Ceracak-ceracak akar udaranya kurus dan tidak begitu keras. Sonneratia pula ialah spesis yang lebih banyak tumbuh di muara-muara atau tempat yang lebih terlindung. Ia juga merupakan spesis yang tumbuh di barisan hadapan tumbuh-tumbuhan bakau. Penduduk tempatan menamakannya sebagai perepat atau berembang. Akar-akar udaranya yang menonjol keluar dari dalam lumpur kuat, keras dan tegap. Rhizophora ialah sejenis lagi spesis bakau yang biasa kelihatan tumbuh meliar di hutan paya bakau. Ia mengeluarkan akar-akar tunjangnya dari sekeliling bahagian bawah batangnya dan menjunam ke dalam lumpur. Akar-akar ini memberikan sokongan yang amat kuat dan padu kepada pokoknya. Antara jenis-jenisnya ialah bakau kurap dan bakau minyak. Bakau berus dan lenggadai tumbuh di deretan yang lebih darat. Nama saintifiknya ialah Bruguiera. Satu lagi jenis yang yang jarang kelihatan tumbuh di deretan mengarah ke tanah daratan ialah Xylocarpus atau dikenali oleh orang tempatan sebagai nyirih. ia mempunyai buah bulat seperti limau besar atau peluru meriam. Itu adalah serba sedikit pengetahuan, sekadar ingin tahu jenis-jenis bakau yang terdapat di negara kita, Malaysia.

Bakau tidak pula sunyi dari berbagai jenis fauna yang mendiami dan bergantung hidup dalam habitatnya. Kawasannya yang menggalakkan pertumbuhan pohon-pohonnya yang subur menghijau menaungi pelbagai jenis haiwan. Unggas seperti bangau dan raja udang; serangga seperti kelip-kelip; cacing pumpun dan larva; ketam, ikan, siput, kekerang, belacak dan belangkas semuanya hidup saling bergantung antara satu sama lain. Keseluruhannya membentuk satu eko-sistem yang menjadi begitu penting dan berkait rapat dengan kehidupan manusia. Dalam lukisan saya bagi siri ini, cuma sedikit memaparkan burung-burung bangau dan raja udang. Mungkin bagi siri yang akan datang segala macam fauna ini lebih sesuai dipaparkan dalam satu sudut pandang dekat yang tidak terdapat dalam lukisan saya bagi siri ini, kerana lebih terarah kepada tempat-tempat bakau di berbagai wilayah.
 

Followers