Showing posts with label painting. Show all posts
Showing posts with label painting. Show all posts

Sunday, January 27, 2013

Tabir Damai II

"Tabir Damai II atau The Serene Frontier II maju kehadapan dengan warna yang baru dan segar yang menonjol (flamboyance) dengan sentuhan kontemporari"

Tabir Damai II akan berlangsung pada 4- 23 February 2013, di Galery Balai Berita, New Strait Times, Jalan Riong, Kuala Lumpur. 24 buah lukisan akan dipamerkan.
(semua lukisan dalam siri Tabir Damai II yang dimuatkan dalam post blog ini berukuran dalam anggaran 100 cm lebar)

Turquoise and Orange Serenity (Sungai Semeling)


Melalui  pengalaman yang telah saya lalui, dan gambaran paya bakau yang masih terlekat dalam minda saya dahulunya semasa membesar di daerah  bakau dan pengalaman baru yang saya lalui dalam perjalanan menjejaki lembah bakau telah memberikan gambaran yang begitu banyak bagi saya untuk saya jadikan  ilham menghasilkan karya bagi membentuk  “Tabir Damai” atau “The Serene Frontier”sebagai sebuah siri. Pengalaman dan gambaran ini akan terus saya jadikan bahan dan idea bagi mengembangkan siri ini untuk masa yang akan datang.

Flaming Serenity (Sungai Semeling)


Justeru untuk keberlangsungan  ini saya meneruskan perjalanan karya saya dengan “Tabir Damai II” sebagai siri yang berikutnya. Ini merupakan  sambungan siri terdahulu  “Tabir Damai I” yang telah diadakan pamerannya pada bulan mac 2010.  

Allah Yang Satu; Tiada Sekutu BagiNya

Tahun 2013 akan menyaksikan kelahiran “Tabir Damai II” dengan koleksi  terbaru yang akan memaparkan karya-karya yang lebih besar dari segi ukurannya, iaitu 140cm x 80cm, iaitu sekali ganda ukuran penuh (double full size) karya-karya terdahulu dalam siri “Tabir Damai I”. Sebanyak 30 buah lukisan warna air yang lebih berani dari penggunaan warnanya lebih kontemporari.

Limelight Serenity (Sungai Terong)

Siri terdahulu membawa  sebuah interpretasi segar dan nyaman dalam warna natural dan sebenar pohon bakau, dedaunnya, dahan-dahannya, cabang rantingnya dan akar selirat serta pantulan bayangnya di atas air.
Siri seterusnya “The Serene Frontier II” maju kehadapan dengan warna yang baru dan segar yang menonjol (flamboyance) dengan sentuhan kontemporari.  Sebahagian dari lukisan itu diberi suatu nafas baru dengan subtrak warna yang komplimen. Contohnya langit pagi yang biru ditukar menjadi oren, dan merah oren.  Langit petang yang berwarna jingga ditukar menjadi turquoise dan biru cerulean atau ultramarine dan seumpamanya. Dedaun hijau yang natural ditukar menjadi merah, vermillion, oren, rose dan neutral-neutralnya.  Warna-warna ini bolehlah dikatakan sebagai warna-warna bertentangan atau hampir bertentangan dalam bulatan warna. Sebagai analogi yang lain kita bolehlah kiranya merujuk kepada rakaman “infra-red” dalam fotografi warna.  Adakala warna gelap tua tiba-tiba menjadi putih.  Saya merasakan bagaikan mahu menamakan warna-warna dalam siri ini dalam istilah saya sendiri, iaitu “Colourflex”

Sila lihat sebahagian dari lukisan-lukisan di coroflot.com/ahmedfauzi yang akan dipamerkan dalam siri Tabir Damai II.

Terima Kasih.

Friday, February 26, 2010

Ahmed Fauzi, Dalam Pernyataan Seni Dari Hati Budi Tentang Alam Bakau

"Dalam transisi dari ilustrasi ke seni halus dengan media warna air, saya menjadikan alam bakau sebagai ekspresi seni saya. Alam bakau, sebuah tabir damai ialah pepohon hijau yang merentasi pesisir pantai, sungai dan delta di bumi negara kita sebagai warisan alam yang perlu dijaga."





Rentetan Perjalanan Menjejaki Wilayah Alam Bakau

Sinar cahaya matahari yang mencelah dedaun hijau segar bagaikan memercikkan bintik-bintik cahaya kuning, oren, oren kemerahan dan hijau muda jelah berharmoni dan berkontras dengan warna-warna tua dan gelap serta semi-neutral unggu, violet, biru dan hijau. Saya kagum melihat fenomena cahaya pagi seperti itu pada dedaun pokok-pokok bakau yang menjadi tabir di pinggiran pantai sungai air masin. Sebenarnya keadaan seperti itu juga biasa terjadi pada hutan tropika lain, tetapi pada kawasan yang lebih terdedah luas kepada pencahayaan matahari. Hutan paya bakau unik. Ia mempunyai perbezaan yang agak istimewa. Keunikan inilah yang membuat saya terpaut kepadanya. Akar-akar sokong yang menunjang dari sekeliling bahagian bawah batang pokoknya dan dahan-dahan pohonnya bagaikan semacam paksi kepada tabir dedaun hijau segar yang merentasi sepanjang pinggir tebing sungai dan muara. Apatah lagi jika airnya yang jernih itu tiada bayu yang bertiup, pasti menjadi cerminan yang memantul atau membalikkan kembali bayangan dedaun pohon yang segar hijau, biru, violet, unggu serta teduhan dan semi neutralnya yang dicelahi oleh percikan-percikan cahaya kuning, oren dan oren kemerahan. Sudah tentu menjadikannya sebuah gambaran panorama yang indah. Segalanya pada pemandangan damai itu seolah-olah menjadi begitu trankuil pada mata yang menatapnya. Inilah suasana yang sering kita dapati ketika cuaca tenang jika menyusuri permukaan sungai air masin di sepanjang pinggir tebing hutan bakau. Itulah pula merupakan suasana yang sering melambai dan menggamit hati naluri saya untuk menalakan berus berair basah berjuskan warna-warna segar ke atas kertas putih yang ditebarkan di atas papan fleksi saya. Alangkah ruginya jika saya biarkan sahaja suasana ini tanpa merakamkannya.

Cinta saya terhadap alam bakau tercetus ketika saya masih kecil. Saya dibesarkan di sebuah wilayah kawasan sungai bakau di sebuah kampung yang ketika itu terpencil dari jalan darat. Bot penumpang berbumbung ialah satu-satunya transpot dari Lumut ke Kampung Telaga Nanas. Sepanjang perjalanan ialah sugai air masin yang lebar dan tenang. Tabir pepohon bakau dan cerminan bayang-bayangnya di atas air Sungai Dinding menghiasi kiri dan kanan di sepanjang pinggir tebingnya. Diselangi pula satu dua kampung terpencil yang penduduknya beroleh pendapatan dan mempunyai kehidupan yang berkait rapat dengan hutan bakau. Menyusur ke hulu sungai yang lebar itu terdapat kampung-kampung lain dan satu dua pekan kecil terpencil. Ada dua cabang sungai. Menyusur ke kiri boleh sampai ke Halban Condong. Menyusur seterusnya kita boleh sampai ke Segari. Di cabang sungai terkanan pula kita boleh menyusuri ke Beting Luas (Kampong Changkat Keruing) dan seterusnya ke Pekan Changkat Keruing. Dari persimpangan cabang ini boleh kelihatan Gunung Tunggal, jika mengikuti jalan darat kita boleh sampai ke Pantai Remis dan seterusnya Taiping dan Utara Semenanjung.

Kini suasana dan pemandangan Sungai Dinding sudah agak terjejas oleh sang penebang yang telah mengusahakan pembalakan batang bakau, tapak binaan dan kolam ternakan. Usaha untuk mengekalkan pohon-pohon bakau sebagai batasan baris hadapan dan benteng pertahanan pesisir pantainya (atau garisan kawasan tebatan) kurang diberi perhatian. Benteng pohon-pohon bakau ini mungkin terdedah kepada hakisan ombak dari angin laut dan ribut taufan. Mungkin juga dari serangan tsunami. Jika dahulunya airnya begitu jernih tetapi sekarang sudah menjadi keruh. Tabir hijau bakau yang segar sudah banyak diselangi lompang-lompang dan ruang jarang yang kurang enak menatapinya. Semua ini membuatkan saya terasa semacam ada suatu tugas untuk merakamkan suasana damai hijau segar pohon-pohon bakau di tempat-tempat yang masih ada yang belum terjejas. Takut nanti kalau-kalau tak sempat sebelum punah.





Saya menjelajah kawasan bakau dari Utara Semenanjung hingga ke penghujung Selatan Tanah Besar Benua Asia iaitu Tanjung Piai untuk mencari paparan tabir hijau bakau supaya dapat dirakamkan ke kertas warna air. Takut kalau-kalau nanti tak sempat sebelum ianya musnah.

Sungai Dinding, Perak merupakan sasaran awal saya seawal tahun 2006 untuk merakam bakau ke atas kertas putih saya. Saya begitu senang menyaksikan suasana ketika air mula berbunga pasang; iaitu dalam keadaan airnya yang jernih dan parasnya yang kian naik sedikit demi sedikit menenggelamkan akar-akar bakau. Suasana seperti ini telah saya rakamkan di Sungai Tok Aki dan beberapa tempat lain lagi. Selain itu akar-akar sokong yang menunjang ke dalam tebing lumpur tidak kurang juga nilai estetikanya. Ada yang menggelung, bertindan-tindan dalam corak yang berulang-ulang. Ada akar-akar sokong yang berwarna coklat dan keorenan umpama ratusan jejari panjang menjunam ke dalam lumpur dari batang-batang bakaunya. Semuanya memberi sokongan yang kuat dan padu untuk pohonnya. Segala pengalaman visual ini tidak saya biarkan berlalu begitu saja. Terasa ralat jika tidak merakamkannya.

Pada akhir tahun 2006 saya menjelajah hutan paya Belungkur (Tanjung Belungkur), Johor. Bersama saya ialah anak saya Redha Fansuri, kakak saya Rehan, Shamsuddin sauminya anak mereka Shamsuri. Di daerah ini paya bakaunya seolah-olah seperti sebuah wilayah di Disneyland. Akar-akar bakaunya besar-besar belaka yang membayangkan usianya yang sudah lampau. Alor-alor sungai hutan payanya berliku-liku, mampu menyesatkan perjalanan sampan kecil. Semuanya terasa damai, sejuk, gelap dan kadang-kadang seram. Batang-batang pohon bakau yang menjangkaukan akar-akar sokongnya berselirat seolah-olah boleh disusup lalu dengan bot kecil dari celah-celah bawahnya. Seperti wilayah Disneyland. Boleh menjadi setting bagi cerita filem animasi. Di sini tiada penebangan. Pohon-pohon tumbuh dan membesar bebas dari gangguan sang penebang. Saya merasakan ingin datang semula mencari paparan visual yang lebih baik dan unik di tempat ini.


Kuala Sepetang (dulunya Port Weld), Taiping, Perak lazimnya menjadi buah mulut orang tentang usia hutannya yang sudah lama dan pengurusan boleh-kekalnya. Saya hanya mampu melukis, tidak banyak sebenarnya. Oleh kerana lebih berminat menyusuri sungai dan persekitarannya yang saya tidak sempat melakukannya. Di kawasan hutan yang boleh dijejaki oleh orang ramai ini terdapat bakau-bakau besar tua yang lurus-lurus dan tinggi.

Pada tahun berikutnya pertengahan 2007, saya hanya menjejaki kawasan yang berhampiran pantai Kuala Gula tetapi hanya merakamkan ke lukisan pada tahun 2008.

Ketika saya mula-mula menyewa sebuah galeri di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay pada awal tahun 2009, saya menyusuri Sungai Kuala Terung yang tidak jauh dari bandar Taiping. Sungai Terung mampu memberikan ilham yang banyak kepada saya. Kebetulan pada malamnya ketika bermalam di chalet, ribut petir melanda. Paginya ketika hujan teduh suasana begitu hijau disebabkan hujan pada malamnya yang menjadikan warna dedaunnya begitu pekat dan berkontras dengan percikan cahaya kuning dan cahaya kemilauan dan juga pencahayaan belakang memberikan kesan kontras untuk lukisan saya. Sembilan buah karya lukisan bertajuk Sungai Kuala Terung 1 hingga Sungai Kuala Terung 9 telah dapat saya siapkan. Sungai Kuala Terung boleh memberikan banyak lagi ruang visual yang boleh saya rakamkan ke dalam lukisan saya.




Sungguhpun saya merasakan ada banyak lagi visual Sungai Kuala Terung yang boleh saya lukiskan tetapi pada tahun itu juga saya menyusuri Sungai Merbok, Kedah. Di Wilayah Bidong, Kuala Tanjung Dawai, Merbok, saya menyewa bot berkuasa tinggi untuk menjelajah sungainya. Saya melukis sebanyak 7 lukisan termasuk Sungai Semeling yang saya susuri esoknya tetapi dengan menggunakan sampan kecil. Bersama saya ketika itu ialah Aminuddin Raished, anak saudara saya. Untuk pemandangan sekitar Tanjung Dawai saya dapat melukis beberapa buah lukisan. Setengah daripadanya saya memberikan sentuhan yang agak berlainan dari lukisan-lukisan saya yang lepas ketika menggambarkan Sungai Dinding, Perak; Belungkur, Johor; Kuala Sepetang, Taiping dan Kuala Gula, Perak. Sebenarnya saya sudah memulakan sentuhan seperti ini ketika menggambarkan bakau di Kuala Terung. Malah saya memberikan sedikit sentuhan kontemporari pada sebuah lukisan pepohon bakau yang sudah mati dengan batang, cabang dan dahan-dahannya dibiarkan warna putih kertasnya berlatarkan warna hijau jelah mentah berganding dengan biru analogous, biru dan hijau yang diharmonikankan dengan latar unggu dan unggu merah pada sesebahagian dari dedaunnya. Satu komplimen oren sebagai sentuhan aksen diletakkan kepada sebahagian dari batangnya. Sememangnya ini adalah sesuatu yang tidak realistik bagi dedaun bakau yang berwarna sedemikian. Di Sungai Semeling saya menyaksikan satu keindahan yang tidak biasa bagi persekitaran bakau. Pada pemandangan ini saya melukiskan sederetan tabir bakau dengan menggunakan warna-warna analogous dan semi neutralnya yang bergradian secara beransur-ansur ke kanan dari ultramarine kepada cobalt, biru, biru hijau (turquois), hijau jelah dan di penghujung kanan sekali ialah hijau emerald yang lebih muda dengan semi-neutralnya dan berkomplimenkan oleh oren, merah dan ros permanen sebagai aksennya.

Tetapi sebelum saya menyusuri Sungai Petani, Kedah saya sebenarnya sempat berkunjung semula ke Johor. Pada ketika itu saya sempat sampai ke tempat yang paling penghujung Tanah Besar Benua Asia (Tanjung Piai) dan Serkat Laut. Di samping itu saya sempat pula menyusuri sungai di Ulu Pendas. Gambar-gambarnya yang telah dirakam masih belum lagi berkesempatan saya melukiskannya, kecuali Tanjung Piai dan Serkat Laut.

Rentetan perjalan dari Utara Semenanjung hingga ke tempat yang paling hujung Tanah Besar Benua Asia ini merupakan desakan dari naluri dalam diri saya untuk menjelajah dan menjejaki wilayah yang ada sungai, paya, delta dan kuala bagi mendapatkan pemandangan bakau yang indah dan menarik. Cuma saya belum berkesempatan menjejaki bahagian Pantai Timur Semenanjung dan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. Rasanya tidak lengkap jika sekadar melukiskannya tanpa mengetahui secara umum atau penjelasan rengkas jenis-jenis bakau yang terdapat di negara kita


Sejarah Awal dan Latar Belakang Karier Seni

Dilahirkan pada 21 Julai 1950, saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Telaga Nanas, Lumut, Perak; sebuah kampung yang pada ketika itu letaknya agak terpencil dari jalan darat. Kampung yang menghadap Sungai Dinding (sekarang Sungai Manjong), airnya mengalir ke hulu ketika air pasang dan menghilir hingga ke pekan Lumut tidak jauh dari Pulau Pangkor. Wilayah ini mempunyai persekitaran bakau yang banyak memberikan sentuhan nostalgia kepada saya. Pengalaman semasa kecil bersampan menyusuri pantai dan tebing-tebing bakau di kiri dan kanan kampung, telah banyak menyelitkan memori visual persekitaran alam bakau. Kini menjadi ransangan bagi saya melukiskan suasana keindahannya. Masih terlekat di retina minda saya gambaran bakau dan cerminan pantulan di wajah sungainya.




Pada peringkat menengah saya mendapat pendidikan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak. Semasa persekolahan saya banyak menghasilkan lukisan untuk kegunaan sekolah dan memenangi banyak hadiah pertandingan melukis. Tidak pernah pun ada keinginan untuk melukis alam bakau pada ketika itu walaupun di fakulti minda saya terdapat memori visual alam bakau. Sekali sekala ketika cuti sekolah saya menyusuri tebing-tebing bakau. Saya mengakhiri tahun persekolahan pada 1966 dengan “Malaysia Certificate of Education” dan memulakan karier melukis saya.


Di sebuah syarikat iklan luar di Kuala Lumpur saya berkerja sebagai pelukis kommersial di pertengahan 1967 untuk beberapa tahun lamanya. Saya menyambung profession ini di Bandar Ipoh pada 1969 untuk beberapa tahun kemudiannya sebelum menjadi penjawat awam di Radio Television Malaysia sebagai Pelukis Grafik pada 1974 hingga 1978. Seterusnya saya menyambung profession ini di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam bidang rekabentuk komunikasi korporat dan rekabentuk penerbitan buku. Di samping itu saya banyak membuat ilustrasi untuk buku kanak-kanak dan remaja. Saya berkhidmat di DBP selama 25 tahun. Di waktu itu saya membuat pengajian luar kampus di ITM dan beroleh diploma. Ada ketikanya saya mendapat bantuan dari isteri saya Hasemah apabila sekali sekala ingin mengulangi sejarah sebagai pelukis komersial. Bidang rekabentuk penerbitan buku telah banyak memberikan kepuasan kepada saya pada ketika itu walaupun keinginan untuk melukis alam bakau belum lagi terbit di hati saya. Saya menamatkan karier dalam jawatan awam sebagai Pegawai Seni Reka setelah berkerja selama sebelas tahun sebelum bersara awal pada 2003.




Pada awal persaraan saya masih lagi melukis ilustrasi untuk penerbitan buku, dan dalam masa yang sama mula berjinak-jinak dalam bidang seni halus. Pada satu ketika saya berkongsi tenaga dengan anak saya Tetriana untuk membuat ilustrasi paya bakau. Kakak kepadanya ialah Tetralina, beliau memasuki bidang perundangan. Saya bertolak dari ilustrasi yang memerlukan banyak perincian, dan ketelitian menyusuri sedikit demi sedikit transisi ke seni halus melalui pembacaan dan berserta pengalaman dari ilustrasi itu sendiri. Ketika ini imej bakau dan cerminan pantulan di wajah sungainya yang masih terlekat di retina minda saya semasa kecil dan membesar bersama-sama persekitarannya muncul memberikan inspirasi kepada saya. Saya menumpukan perhatian untuk melukis alam bakau dan memilih tema ini untuk melahirkan ekspresi seni saya dalam media warna air dan mula bergiat pesat pada 2006. Saya ingin mengekalkan tema ini dan terus melukis alam bakau buat beberapa ketika. Manalah tahu suatu hari nanti suasana damai alam bakau ini mungkin lenyap dari pemandangan kita.

Alam bakau yang terkandung di dalamnya berbagai spesis bakau yang telah berkurun-kurun hidup di negara kita harus dipelihara oleh kita semua. Ia merupakan warisan alam kepada negara kita. Secara peribadi saya merasakan ada sesuatu yang patut dilakukan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan pengurusan pemuliharaan-boleh-kekalnya. Suatu garisan kawasan simpan di sepanjang pantai pada barisan hadapannya patut dijadikan sebagai kawasan tebatan untuk mengekalkan pohon-pohon bakau. Ini bermakna aktiviti ekonomi yang terpaksa mengorbankan muka buminya hanya boleh dilakukan di sebalik kawasan itu.

Kecintaan saya terhadap alam bakau membuat saya mahu terus mengembara menjelajah wilayah bakau di seluruh negara, mencerap pemandangan damainya dan mewarnakannya ke atas kertas lukisan saya. Visualnya akan terus saya kekalkan sekiranya pemandangan damai pohon-pohonnya akan lenyap suatu hari nanti, manalah tahu. Berikutnya saya ingin nukilkan sedikit pengalaman merakam dan melukis tabir damai alam bakau dari rentetan perjalanan saya menjejaki wilayah bakau.

 

Followers